Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor
& Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 etika menulis blog dengan baik
yang telah disenaraikan dalam buku Eh!!!
Media Sosial iaitu:
1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian
pembaca.
Pemilihan tajuk yang menarik oleh penulis
haruslah dipilih dengan sebaik mungkin supaya dapat memberi kesan emotif kepada
pembaca. Tajuk yang dipilih juga sebaiknya tidak terlalu panjang dan haruslah
menggunakan perkataan yang berunsurkan emotif dan mudah untuk difahami. Hal ini
demikaian kerana, tajuk yang menarik boleh meransang pemikiran pada persepsi
awal pembaca.
2. Cerita menarik
yang dapat menarik hati pembaca.
Penulisan blog yang menarik seharusnya mempunyai jalan
penceritaan yang menarik. Cerita yang ditulis seharusnya mempunyai isi yang
hendak disampaikan dan diceritakan sesuai mengikut peredaran masa. Penulis
hendaklah pandai menyusun jalan cerita supaya ia tidak bertindih isi yang
hendak diceritakan. Permulaan cerita yang mempunyai pengenalan isi dan penutup
yang menarik mampu menghidupkan sesebuah cerita yang hendak disampaikan
menerusi penulisan blog anda.
3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk
jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
Penulisan blog juga seharusnya ditulis dengan menggunakan
ayat yang santai dan tidak terlalu formal. Bagi menghasilkan ayat yang menarik,
penulis hendaklah menggunakan ayat yang memunyai unsur-unsur jenaka supaya
penulisan tersebut tidak menjadi bosan. Ayat yang berbentuk jenaka ini
hendaklah bersesuaian dengan isi dan cerita yang disampaikan agar ia
keterlaluan.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan
penulisan anda.
Sesebuah penulisan yang ditulis akan menjadi menarik
apabila mempunyai hujah yang bernas dan mantap bagi menyokong sesebuah isi yang
disampaikan. Hujah yang dikemukan itu hendaklah mempunyai kesahihan fakta dan
tidak direka. Sekiranya ayat yang dihuraikan itu sekadar memberikan contoh dan
tidak disokong dengan hujah yang mantap, maka penulisan blog yang ditulis tidak
akan mendapat perhatian pembaca.
5.
Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
Sesebuah blog yang mendapat perhatian ramai pembaca adalah
disebabkan oleh penulisan yang berkaitan dengan berita terkini. Kebanyakan pembaca
mahukan maklumat yang terkini untuk diterokai. Oleh itu, penulis blog
seharusnya peka dengan keadaan semasa supaya penulisan tersebut tidak menjadi
lapuk dan secara tidak langsung ia menyebabkan blog anda sentiasa hidup dengan
perkongsian maklumat terkini.
6.
Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Penulisan blog ditulis dengan menggunakan ayat yang
ringkas. Penulis tidak perlu menghasilkan ayat yang lewah dan sukar untuk
difahami. Perkataan dan struktur ayat yang ringkas lebih mudah untuk difahami
berbanding ayat yang panjang dan
berbunga-bunga. Rata-rata pembaca blog terdiri daripada pelbagai latar belakang
dan peringkat umur, jadi penggunaan ayat yang mudah dan ringkas lebih mudah dan
jelas untuk difahami mesej yang hendak disampaikan oleh penulis.
7. Dapat dibaca dan difahami.
Blog yang dihasilkan seharusnya mudah dibaca dan difahami
mengenai pengisisan yang ditulis. Penggunaan fon haruslah mudah untuk dibaca
dan elakkan penggunaan saiz tulisan kecil. Misalnya, penggunaan fon yang
berangkai tulisannya menyukarkan pembaca untuk membaca. Penggunaan theme (tema) atau latar belakang
hendaklah bersesuaian supaya bersesuaian dengan fon dan tidak menyakitkan mata
pembaca. Sekiranya, pemilihan fon, saiz dan tema yang bersesuaian ia akan
memudahkan pembaca memahami dan membaca sesebuah penulisan blog tersebut. Hal ini
demikian kerana, pembaca blog juga terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Penulisan blog ini merupakan medium perantaraan yang
membolehkan penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca. Menerusi penulisan
blog, anda dapat menyatakan hasrat dan bercerita mahupun berkongsi maklumat dan
pengetahuan yang dimiliki dengan pembaca. Pembaca juga boleh berhubug dengan
penulis menerusi ruang komen dan boleh membalas komen diantara satu sama lain
berkaitan dengan penulisan yang telah dihasilkan ataupun sebaliknya. Oleh itu, dengan
adanya blog ia membolehkan komunikasi dua hala berlaku diantara pembaca dan
penulis.
9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan
anda.
Sebagai seorang penulis blog, anda seharusnya
memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda. Hal ini jelas
menunjukan bahawa, penulisan blog anda mampu memberikan impak yang postif kepada
para pembaca dan menjadikan penulisan tersebut menarik dan luar biasa. Setiap
penceritaan yang dihasilkan dalam penulisan blog seharusnya membolehkan pembaca
memperoleh sesuatu pengajaran yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan
kelak.
10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.
Penulisan yang dihasilkan dalam blog bukan sahaja
dikongsikan berkaitan dengan isu semasa mahupun pengalaman hidup, malah
perkongsian mengenai penulisan pendidikan juga dihasilkan. Sekiranya, anda sebagai
seorang penulis blog yang pakar dalam sesuatu bidang. Misalnya, anda mempunyai kepakaran dalam bidang Sains, bahasa Melayu dan sebagainya, anda boleh menghasilkan sebuah penulisan blog supaya dapat dikongsikan dengan pembaca. Hal ini
jelas menunjukkan bahawa anda berlilmu untuk penulisan ilmiah mahupun
pendidikan.